MUZIK TRADISIONAL

Posted: June 8, 2010 in Uncategorized

Himpunan Pengalaman

Kepelbagaian warisan budaya dan kaum di Malaysia paling ketara dilihat pada jenis-jenis muzik dan tarian yang terdapat di sini. Tarian kaum Melayu, Orang Asli serta beberapa suku kaum penduduk di Sabah dan Sarawak benar-benar eksotik dan menawan. Setelah sekian lama kaum Cina, India dan Portugis menetap di Malaysia, tarian-tarian tradisi negara asal mereka juga menjadi sebahagian daripada warisan dan budaya Malaysia.

Tarian

Mak Yong Melayu
Tarian Mak Yong yang berasal dari Patani di selatan Thailand dicipta untuk hiburan kerabat DiRaja wanita, permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat diRaja lelaki. Tarian ini menggabungkan drama romantis, serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengisahkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu.

Tarian Mak Yong Melayu

Kuda Kepang
Tarian Kuda Kepang dibawa ke Negeri Johor oleh pendatang dari Jawa. Para penari menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam, diiringi paluan gendang, gong dan angklung.

Tarian Kuda Kepang

Zapin
Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Malaysia boleh dilihat dengan ketara dalam tarian Zapin, sebuah tarian yang terkenal di negeri Johor. Tarian ini, yang diperkenalkan oleh para mubaligh dari Timur Tengah, pada mulanya digunakan dalam amalan berzikir yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam.

Tarian Zapin

Joget
Tarian yang paling terkenal di Malaysia ini adalah sebuah tarian yang meriah, dengan rentak yang agak laju. Tarian ini, yang dipersembahkan oleh pasangan penari dengan gerak-geri pantas yang disulami pelbagai usikan, berasal dari tarian tradisi Portugis yang diperkenalkan di Melaka sewaktu era perdagangan rempah di situ.

Tarian Joget

Tarian Lilin
Sebuah tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin di dalam piring kecil di atas telapak tangan mereka, dan memaparkan gerak-geri yang penuh dengan kelembutan.

Tarian Lilin

Silat
Salah satu tradisi Melayu paling tua yang juga merupakan sejenis seni mempertahankan diri, Silat juga adalah suatu seni yang boleh dipersembahkan dalam bentuk tarian. Dengan pergerakan badan yang penuh aksi serta bunga langkah, persembahan silat sememangnya menarik dan mengasyikkan.

Silat

Tarian Singa
Tarian ini, yang lazimnya dipersembahkan ketika perayaan hari Tahun Baru Cina, adalah merupakan persembahan yang penuh bertenaga dan menghiburkan. Menurut lagenda, singa adalah satu-satunya haiwan yang boleh menghalang Nian – sejenis haiwan dongeng yang selalu menyerang negara China dan mengorbankan manusia pada hari sebelum Tahun Baru Cina. Tarian naga adalah sebuah tarian bersemangat yang sentiasa diiringi paluan gendang tagu Cina, dan simbal, serta memerlukan keberanian dan penataan gerak tarian yang tepat diantara penari-penarinya.

Tarian Singa

Tarian Naga
Naga adalah sejenis haiwan dongeng yang melambangkan kuasa luarbiasa, kebaikan, kesuburan, kewaspadaan serta kehormatan dalam budaya Cina. Tarian Naga lazimnya dipersembahkan ketika sambutan Tahun Baru Cina, dan dipercayai membawa tuah dan kekayaan bagi tahun yang baru. Tarian ini selalunya memerlukan seramai 60 orang bagi mempertunjukkan persembahan yang penuh kepakaran, keanggunan serta penataan gerak tarian yang tepat.

Tarian Naga

India Bharata Natyam
Tarian klasik India ini bagaikan sebuah puisi dalam gerak tari. Tarian yang dramatik dan bersemangat ini berdasarkan kisah epik India purba, dan memaparkan lebih dari 100 gerak tarian dan gaya badan. Memandangkan tarian ini memakan masa yang lama untuk dikuasai, terdapat sesetengah penari kanak-kanak yang mula berlatih pada umur semuda lima tahun.

India Bharata Natyam

Bhangra
Bhangra memaparkan tarian serta muzik masyarakat Sikh. Pada mulanya Banghra adalah sebuah tarian menyambut musim menuai, tetapi kini ianya memainkan peranan dalam pelbagai sambutan kemasyarakatan termasuk majlis perkahwinan dan sambutan Tahun Baru. Tarian ini lazimnya adalah berdasarkan tema-tema romantis, di mana nyanyian serta tarian yang diiringi paluan dholo, iaitu sejenis gendang bermuka dua, menjadikan tarian Banghra sangat menghiburkan.

Bhangra

Sabah & Sarawak

Ngajat
Ngajat adalah sejenis tarian pahlawan tradisional suku kaum Iban di Sarawak. Tarian ini lazimnya dipersembahkan ketika perayaan Gawai Kenyalang. Pada masa dahulu, pemburu kepala dari suku kaum ini, yang dikatakan antara yang paling bengis di Sarawak, diraikan dengan perayaan Gawai Kenyalang. Pahlawan lelaki mempertunjukkan pergerakan yang tangkas di sepanjang persembahan tarian ini, sambil memakai topi tradisional yang panjang dan memegang sebuah perisai panjang yang berukir.

Ngajat

Datun Julud
Tarian Kenyalang adalah sebuah tarian tradisional suku kaum Kenyah di Sarawak. Tarian ini dicipta oleh seorang putera Kenyah bernama Nyik Selong bagi menggambarkan kegembiraan serta kesyukuran. Pada masa dahulu tarian ini dipersembahkan sewaktu perayaan kemasyarakatan bagi menyambut kepulangan para pahlawan dari berburu, atau sewaktu perayaan tahunan yang menandakan tamatnya musim menuai. Tarian ini diiringi bunyi alat muzik sape dan dipersembahkan oleh seorang penari wanita, menggunakan kipas tangan anggun yang diperbuat daripada bulu burung kenyalang yang melambangkan sayap burung suci tersebut.

Datun Julud

Sumazau
Sumazau adalah sebuah tarian kaum Kadazan yang lazimnya dipersembahkan sewaktu acara-acara keagamaan dan kemasyarakatan. Ia dipersembahkan sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian padi yang banyak, untuk menghindar roh jahat, dan untuk mengubati penyakit. Penari lelaki dan perempuan mempersembahkan tarian yang mengasyikkan ini dengan gerak-geri yang perlalan serta pergerakan yang menngambarkan burung yang sedang terbang.

Sumazau

Tarian Buluh
Tarian Buluh, satu lagi tarian tradisional yang popular serta menghiburkan, menggunakan sepasang buluh panjang yang dipegang mendatar pada paras buku lali. Kedua-dua buluh tersebut diketuk antara satu sama lain dengan rentak yang pantas. Penari perlu tangkas bergerak sambil melompat di antara kedua-dua batang buluh tersebut tanpa tersepit.

Tarian Buluh

Orang Asli
Tarian Orang Asli Semenanjung Malaysia mempunyai kaitan rapat dengan kepercayaan kerohanian mereka. Tarian ini lazimnya digunakan oleh pawang dalam upacara menghubungi dunia roh. Tarian tersebut termasuklah tarian Genggulang kaum Mah Meri, tarian Berjerom kaum Jah-Hut, serta Sewang oleh kaum Semai dan Temiar.

Portugis

Farapeira
Farapeira adalah sebuah tarian pantas yang menghiburkan, seringkali diiringi alat muzik sepert gitar dan tamborin, dan dipersembahkan oleh pasangan penari yang memakai pakaian tradisional Portugis.

Branyo
Tarian Branyo, yang lebih perlahan dan bersopan daripada tarian Farapeira, lebih diminati warga Portugis yang sudah berumur. Penari lelaki yang berpakaian ala koboi dan penari perempuan yang berpakaian baju kebaya tradisional dengan sarong batik, menari dengan perlahan mengikut rentak gendang serta biola.

Muzik

Orkestra
Malaysia mempunyai dua orkestra tradisional; iaitu gamelan dan nobat.

Gamelan, yang berasal dari Indonesia, adalah merupakan orkestra tradisional yang memainkan melodi menggunakan sekumpulan alat muzik termasuk gong serta alat muzik bertali. Nobat pula adalah orkestra diRaja yang memainkan muzik istana yang lebih formal menggunakan pelbagai alat muzik, termasuk serunai dan nafiri.

Gamelan

Alat Muzik

Rebana Ubi
Ketika zaman kerajaan Melayu lama, bunyi paluan rebana ubi yang besar digunakan untuk menyampaikan pelbagai jenis pesanan; dari amaran mengenai serangan musuh, hinggalah pengumuman majlis perkahwinan. Kini, rebana ubi menjadi salah sebuah alat muzik yang digunakan dalam pelbagai persembahan acara kemasyarakatan.

Rebana Ubi

Kompang
Kompang boleh dikatakan alat muzik tradisional yang paling popular di Malaysia, dan digunakan di pelbagai majlis seperti Perarakan Hari Kemerdekaan, pelbagai majlis rasmi, serta majlis perkahwinan. Kompang yang berbentuk seperti sebiji tamborin tanpa kepingan besi disekelilingnya, selalunya dimainkan secara berkumpulan. Pelbagai corak paluan dihasilkan dengan melapiskan pelbagai rentak paluan yang berbeza menjadi satu gabungan ritma yang menarik.

Kompang

Gambus
Gambus dibawa ke Malaysia oleh para pedagang dari Farsi serta Timur Tengah. Gambus dimainkan dengan pelbagai gaya dalam muzik tradisional Melayu, terutama sekali sebagai alat muzik utama dalam muzik Ghazal. Alat muzik ini, yang direka halus menggunakan campuran berbagai jenis kayu, menghasilkan bunyi seakan-akan alat muzik kecapi (harp).

Gambus

Sape
Sape adalah sejenis gitar tradisional masyarakat Orang Ulu atau penduduk hulu sungai di Sarawak. Alat muzik ini, yang dihias indah dengan pelbagai corak ukiran yang berwarna warni, diperbuat daripada sebatang kayu yang ditebuk. Alat muzik ini, yang dahulunya dimainkan seorang diri sebagai hiburan, kini telah menjadi sebuah alat muzik sosial. Lazimnya, sape dimainkan mengikut tema yang berbeza bagi mengiringi tarian seperti Ngajat dan Datun Julud.

Sape

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s