MUZIK TRADISIONAL

Posted: June 8, 2010 in Uncategorized

Himpunan Pengalaman

Kepelbagaian warisan budaya dan kaum di Malaysia paling ketara dilihat pada jenis-jenis muzik dan tarian yang terdapat di sini. Tarian kaum Melayu, Orang Asli serta beberapa suku kaum penduduk di Sabah dan Sarawak benar-benar eksotik dan menawan. Setelah sekian lama kaum Cina, India dan Portugis menetap di Malaysia, tarian-tarian tradisi negara asal mereka juga menjadi sebahagian daripada warisan dan budaya Malaysia.

Tarian

Mak Yong Melayu
Tarian Mak Yong yang berasal dari Patani di selatan Thailand dicipta untuk hiburan kerabat DiRaja wanita, permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat diRaja lelaki. Tarian ini menggabungkan drama romantis, serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengisahkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu.

Tarian Mak Yong Melayu

Kuda Kepang
Tarian Kuda Kepang dibawa ke Negeri Johor oleh pendatang dari Jawa. Para penari menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam, diiringi paluan gendang, gong dan angklung.

Tarian Kuda Kepang

Zapin
Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Malaysia boleh dilihat dengan ketara dalam tarian Zapin, sebuah tarian yang terkenal di negeri Johor. Tarian ini, yang diperkenalkan oleh para mubaligh dari Timur Tengah, pada mulanya digunakan dalam amalan berzikir yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam.

Tarian Zapin

Joget
Tarian yang paling terkenal di Malaysia ini adalah sebuah tarian yang meriah, dengan rentak yang agak laju. Tarian ini, yang dipersembahkan oleh pasangan penari dengan gerak-geri pantas yang disulami pelbagai usikan, berasal dari tarian tradisi Portugis yang diperkenalkan di Melaka sewaktu era perdagangan rempah di situ.

Tarian Joget

Tarian Lilin
Sebuah tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin di dalam piring kecil di atas telapak tangan mereka, dan memaparkan gerak-geri yang penuh dengan kelembutan.

Tarian Lilin

Silat
Salah satu tradisi Melayu paling tua yang juga merupakan sejenis seni mempertahankan diri, Silat juga adalah suatu seni yang boleh dipersembahkan dalam bentuk tarian. Dengan pergerakan badan yang penuh aksi serta bunga langkah, persembahan silat sememangnya menarik dan mengasyikkan.

Silat

Tarian Singa
Tarian ini, yang lazimnya dipersembahkan ketika perayaan hari Tahun Baru Cina, adalah merupakan persembahan yang penuh bertenaga dan menghiburkan. Menurut lagenda, singa adalah satu-satunya haiwan yang boleh menghalang Nian – sejenis haiwan dongeng yang selalu menyerang negara China dan mengorbankan manusia pada hari sebelum Tahun Baru Cina. Tarian naga adalah sebuah tarian bersemangat yang sentiasa diiringi paluan gendang tagu Cina, dan simbal, serta memerlukan keberanian dan penataan gerak tarian yang tepat diantara penari-penarinya.

Tarian Singa

Tarian Naga
Naga adalah sejenis haiwan dongeng yang melambangkan kuasa luarbiasa, kebaikan, kesuburan, kewaspadaan serta kehormatan dalam budaya Cina. Tarian Naga lazimnya dipersembahkan ketika sambutan Tahun Baru Cina, dan dipercayai membawa tuah dan kekayaan bagi tahun yang baru. Tarian ini selalunya memerlukan seramai 60 orang bagi mempertunjukkan persembahan yang penuh kepakaran, keanggunan serta penataan gerak tarian yang tepat.

Tarian Naga

India Bharata Natyam
Tarian klasik India ini bagaikan sebuah puisi dalam gerak tari. Tarian yang dramatik dan bersemangat ini berdasarkan kisah epik India purba, dan memaparkan lebih dari 100 gerak tarian dan gaya badan. Memandangkan tarian ini memakan masa yang lama untuk dikuasai, terdapat sesetengah penari kanak-kanak yang mula berlatih pada umur semuda lima tahun.

India Bharata Natyam

Bhangra
Bhangra memaparkan tarian serta muzik masyarakat Sikh. Pada mulanya Banghra adalah sebuah tarian menyambut musim menuai, tetapi kini ianya memainkan peranan dalam pelbagai sambutan kemasyarakatan termasuk majlis perkahwinan dan sambutan Tahun Baru. Tarian ini lazimnya adalah berdasarkan tema-tema romantis, di mana nyanyian serta tarian yang diiringi paluan dholo, iaitu sejenis gendang bermuka dua, menjadikan tarian Banghra sangat menghiburkan.

Bhangra

Sabah & Sarawak

Ngajat
Ngajat adalah sejenis tarian pahlawan tradisional suku kaum Iban di Sarawak. Tarian ini lazimnya dipersembahkan ketika perayaan Gawai Kenyalang. Pada masa dahulu, pemburu kepala dari suku kaum ini, yang dikatakan antara yang paling bengis di Sarawak, diraikan dengan perayaan Gawai Kenyalang. Pahlawan lelaki mempertunjukkan pergerakan yang tangkas di sepanjang persembahan tarian ini, sambil memakai topi tradisional yang panjang dan memegang sebuah perisai panjang yang berukir.

Ngajat

Datun Julud
Tarian Kenyalang adalah sebuah tarian tradisional suku kaum Kenyah di Sarawak. Tarian ini dicipta oleh seorang putera Kenyah bernama Nyik Selong bagi menggambarkan kegembiraan serta kesyukuran. Pada masa dahulu tarian ini dipersembahkan sewaktu perayaan kemasyarakatan bagi menyambut kepulangan para pahlawan dari berburu, atau sewaktu perayaan tahunan yang menandakan tamatnya musim menuai. Tarian ini diiringi bunyi alat muzik sape dan dipersembahkan oleh seorang penari wanita, menggunakan kipas tangan anggun yang diperbuat daripada bulu burung kenyalang yang melambangkan sayap burung suci tersebut.

Datun Julud

Sumazau
Sumazau adalah sebuah tarian kaum Kadazan yang lazimnya dipersembahkan sewaktu acara-acara keagamaan dan kemasyarakatan. Ia dipersembahkan sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian padi yang banyak, untuk menghindar roh jahat, dan untuk mengubati penyakit. Penari lelaki dan perempuan mempersembahkan tarian yang mengasyikkan ini dengan gerak-geri yang perlalan serta pergerakan yang menngambarkan burung yang sedang terbang.

Sumazau

Tarian Buluh
Tarian Buluh, satu lagi tarian tradisional yang popular serta menghiburkan, menggunakan sepasang buluh panjang yang dipegang mendatar pada paras buku lali. Kedua-dua buluh tersebut diketuk antara satu sama lain dengan rentak yang pantas. Penari perlu tangkas bergerak sambil melompat di antara kedua-dua batang buluh tersebut tanpa tersepit.

Tarian Buluh

Orang Asli
Tarian Orang Asli Semenanjung Malaysia mempunyai kaitan rapat dengan kepercayaan kerohanian mereka. Tarian ini lazimnya digunakan oleh pawang dalam upacara menghubungi dunia roh. Tarian tersebut termasuklah tarian Genggulang kaum Mah Meri, tarian Berjerom kaum Jah-Hut, serta Sewang oleh kaum Semai dan Temiar.

Portugis

Farapeira
Farapeira adalah sebuah tarian pantas yang menghiburkan, seringkali diiringi alat muzik sepert gitar dan tamborin, dan dipersembahkan oleh pasangan penari yang memakai pakaian tradisional Portugis.

Branyo
Tarian Branyo, yang lebih perlahan dan bersopan daripada tarian Farapeira, lebih diminati warga Portugis yang sudah berumur. Penari lelaki yang berpakaian ala koboi dan penari perempuan yang berpakaian baju kebaya tradisional dengan sarong batik, menari dengan perlahan mengikut rentak gendang serta biola.

Muzik

Orkestra
Malaysia mempunyai dua orkestra tradisional; iaitu gamelan dan nobat.

Gamelan, yang berasal dari Indonesia, adalah merupakan orkestra tradisional yang memainkan melodi menggunakan sekumpulan alat muzik termasuk gong serta alat muzik bertali. Nobat pula adalah orkestra diRaja yang memainkan muzik istana yang lebih formal menggunakan pelbagai alat muzik, termasuk serunai dan nafiri.

Gamelan

Alat Muzik

Rebana Ubi
Ketika zaman kerajaan Melayu lama, bunyi paluan rebana ubi yang besar digunakan untuk menyampaikan pelbagai jenis pesanan; dari amaran mengenai serangan musuh, hinggalah pengumuman majlis perkahwinan. Kini, rebana ubi menjadi salah sebuah alat muzik yang digunakan dalam pelbagai persembahan acara kemasyarakatan.

Rebana Ubi

Kompang
Kompang boleh dikatakan alat muzik tradisional yang paling popular di Malaysia, dan digunakan di pelbagai majlis seperti Perarakan Hari Kemerdekaan, pelbagai majlis rasmi, serta majlis perkahwinan. Kompang yang berbentuk seperti sebiji tamborin tanpa kepingan besi disekelilingnya, selalunya dimainkan secara berkumpulan. Pelbagai corak paluan dihasilkan dengan melapiskan pelbagai rentak paluan yang berbeza menjadi satu gabungan ritma yang menarik.

Kompang

Gambus
Gambus dibawa ke Malaysia oleh para pedagang dari Farsi serta Timur Tengah. Gambus dimainkan dengan pelbagai gaya dalam muzik tradisional Melayu, terutama sekali sebagai alat muzik utama dalam muzik Ghazal. Alat muzik ini, yang direka halus menggunakan campuran berbagai jenis kayu, menghasilkan bunyi seakan-akan alat muzik kecapi (harp).

Gambus

Sape
Sape adalah sejenis gitar tradisional masyarakat Orang Ulu atau penduduk hulu sungai di Sarawak. Alat muzik ini, yang dihias indah dengan pelbagai corak ukiran yang berwarna warni, diperbuat daripada sebatang kayu yang ditebuk. Alat muzik ini, yang dahulunya dimainkan seorang diri sebagai hiburan, kini telah menjadi sebuah alat muzik sosial. Lazimnya, sape dimainkan mengikut tema yang berbeza bagi mengiringi tarian seperti Ngajat dan Datun Julud.

Sape

PAKAIAN TRADISIONAL

Posted: June 8, 2010 in Uncategorized

Tradisi Asia Yang Menawan

Malaysia mempunyai jenis-jenis kain dan pakaian tradisional yang berbagai bentuk dan warna, dari tengkolok bulu burung dan baju kulit kayu, hinggalah kain songket diRaja yang antik.

Pada zaman dahulu, penduduk peribumi memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu dan hiasan manik. Dengan ketibaan tamaddun lama, kain tenunan dan batik Melayu dipakai oleh orang kenamaan dan kerabat diraja. Dengan ketibaan pedagang asing, pakaian serta kain seperti sutera Cina, pelikat dan jubah Arab diperkenalkan di negara ini.

Kini, pakaian tradisional seperti baju kebaya Melayu, sari India dan cheongsam Cina masih digunakan dengan meluas.

Melayu
Sebelum kurun ke-20, wanita Melayu memakai kain kemban di tempat-tempat awam. Tetapi, setelah ketibaan Islam, mereka mula memakai baju kurung yang lebih sopan. Baju kurung adalah sejenis baju longgar yang labuh, kadang kala hingga ke lutut dan dipadankan dengan kain panjang yang berlipat tepi. Baju kurung juga boleh digandingkan dengan kain tradisional seperti songket atau batik. Lazimnya pakaian ini digunakan dengan kain selendang atau tudung kepala.

Baju Kurung

Pakaian tradisional bagi kaum lelaki pula dinamakan baju Melayu. Baju Melayu merupakan kemeja longgar yang dipakai dengan seluar panjang. Pakaian ini selalunya diganding dengan kain samping yang diikat di bahagian pinggang.

Baju Melayu

Cina
Pakaian cheongsam atau ‘baju panjang’ yang selesa dan anggun juga sering dilihat hingga ke hari ini. Lazimnya, cheongsam mempunyai leher yang tinggi, butang di bahagian bahu, bentuk yang sendat di pinggang dan belahan di kiri dan kanan kain. Pakaian ini selalunya diperbuat daripada kain sutera, satin dan lain-lain jenis kain lembut.

cheongsam

India
Sari merupakan pakaian tradisional India yang mudah dikenali di seluruh dunia. Sebidang kain berukuran 5 hingga 6 ela panjang dipadankan dengan kain dalam yang berwarna seakan-akan kain sari tersebut, serta choli yang berwarna sama atau setentang dengannya. Kain sari ini dililit pada badan dengan bahagian hujungnya yang bersulam diletak di atas bahu kiri. Kain dalam dipakai di atas atau di bawah pusat dan berfungsi menyokong kain sari tersebut dari terlucut. Sari diperbuat daripada pelbagai jenis, corak dan warna kain yang sememangnya indah.

Sari

Pakaian salwar kameez atau baju Punjabi, yang juga popular di kalangan wanita di utara India, terdiri daripada blaus panjang yang dipadankan dengan seluar panjang yang longgar, serta tudung kepala yang sesuai warnanya.

Baju Punjabi

Kurta pula adalah pakaian tradisional bagi kaum lelaki India di majlis rasmi. Ia merupakan kemeja panjang yang sampai ke lutut dan lazimnya diperbuat daripada kain kapas atau linen.

Kurta

Baba Nyonya
Pendatang Cina yang berkahwin dengan penduduk Melayu selalunya memakai pakaian kebaya yang anggun. Baju buatan tangan ini memerlukan kepakaran bagi menyulam corak-corak yang kelihatan seakan-akan renda yang halus. Hiasan utama baju kebaya adalah sulaman tebuk lubang di mana garisan corak motif bunga di jahit manakala bahagian tengah dasar kain yang tidak terjahit pula ditebuk. Ini menghasilkan hiasan yang seakan-akan renda yang halus, yang dikenakan pada bahagian leher, lengan, hujung blaus serta dua bucu segitiga di bahagian depan baju yang dikenali sebagai lapik.

Pakaian Kebaya Baba Nyonya

Portugis-Eurasian
Pakaian penduduk Portugis-Eurasia Melaka – keturunan bangsa Portugis yang menetap disini – mencerminkan warisan mereka. Kaum lelaki memakai jaket serta seluar panjang yang berwarna hitam dan merah, manakala wanita memakai skirt lebar yang berlapis-lapis.

Sarawak
Negeri terbesar di Malaysia yang mempunyai pelbagai suku kaum ini mempunyai barisan pakaian tradisional yang tidak terkira jumlahnya. Pakaian yang lazim dilihat pada Orang Ulu menggunakan pelbagai corak dan motif, dan menggunakan kain tenunan tangan, kain kulit pokok, bulu ayam dan manik. Sarawak terkenal dengan pua kumbu Iban, kain songket Melayu Sarawak, pelbagai perhiasan tradisional, serta tengkolok bulu burung.

Sabah
Seperti Sarawak, Sabah juga mempunyai jenis-jenis suku kaum yang pelbagai. Setiap suku kaum mempunyai pakaian serta perhiasan unik masing-masing. Bagaimanapun, suku kaum berbeza yang tinggal di kawasan yang berdekatan lazimnya memakai pakaian tradisional yang serupa. Antara perhiasan yang paling menarik termasuklah topi anyaman wanita Kadazan-Dusun, dastar kaum Bajau, dan tengkolok suku kaum Lotud yang menandakan jumlah isteri lelaki yang memakainya.

Orang Asli
Masyarakat Orang Asli yang lazimnya tinggal di kawasan hutan di Malaysia, memakai pakaian yang diperbuat dari bahan semulajadi seperti kulit pokok terap dan skirt rumput. Perhiasan yang dipakai oleh mereka termasuklah lilit kepala yang diperbuat daripada daun yang dianyam dengan pelbagai corak.

BIDANG KRAFTANGAN

Posted: June 8, 2010 in Uncategorized

Pelbagai Hasil Kraftangan

Malaysia berbangga kerana mempunyai pelbagai jenis kraftangan tradisional – dari hasil kraftangan antik yang tidak ternilai, hingga kraftangan moden yang menawan.

Oleh sebab kebanyakan penghasil kraftangan di negara ini beragama Islam, rekabentuk kraftangan tradisional banyak mencerminkan pengaruh Islam. Agama Islam melarang penggunaan gambaran manusia dalam keseniannya. Oleh itu kebanyakan rekabentuk adalah berdasarkan unsur alam semulajadi seperti corak akar dan tumbuhan menjalar, bunga serta haiwan.

Pasu
Barangan popular yang berciri tradisional termasuklah labu sayong dari negeri Perak, geluk dan belanga, tembikar Cina dan pasu Sarawak yang dihias corak tradisional. Kraftangan moden pula termasuklah pasu bunga, pasu, hiasan yang diperbuat dari tanah liat, arca serta barangan kegunaan dapur.

Pasu

Labu sayong


Labu Sayong merupakan pasu berbentuk labu Cina yang lazimnya berwarna hitam dan biasanya digunakan untuk menyimpan dan menyejukkan air. Negeri Perak amat terkenal dengan jenis pasu ini.

Labu sayong

Belanga
Belanga banyak dijumpai di rumah-rumah kampung dan lazimnya mempunyai dasar yang bulat dan pembukaan bibir yang luas. Ianya selalu digunakan untuk memasak kari kerana dipercayai dasarnya yang bulat membolehkan suhu memasak lebih rata.

Belanga

Terenang
Bentuk Terenang bersegi-segi dan ia selalunya digunakan oleh penduduk di Negeri Pahang dan Terengganu untuk menyimpan air. Ianya mempunyai leher yang cengkung dan badan yang cembung.

Terenang

Hasil Kayu
Malaysia, negara yang diberkati dengan sumber kayu-kayan yang pelbagai di hutan hujan tropikanya, juga terkenal dengan hasil kraftangan kayunya yang pelbagai jenis. Pada zaman dahulu, kebanyakan rumah di Malaysia diperbuat seluruhnya daripada kayu. Kini, antara hiasan serta barangan kayu yang boleh didapati termasuklah panel kayu antik yang terukir, hulu keris, bekas dengan reka bentuk Cina, ukiran kayu Orang Asli yang unik, tongkat kayu berukir, pelbagai peralatan dapur, serta kayu wangi yang berukir.

Hasil Kayu

Kerja Tangan Logam
Hasil kerja tangan cara tradisional bagi membuat pelbagai peralatan gangsa dan loyang yang popular pada zaman dahulu masih terdapat hingga kehari ini. Dengan penemuan bijih timah pada kurun ke-19, pewter pula menjadi semakin popular. Hasil barangan logam termasuk barang hiasan moden, peralatan dapur dan artifak tradisional seperti tepak sirih, bekas merenjis air bunga mawar, serta bilah keris.

Tepak Sirih

Hasil Anyaman
Kagumi kehalusan hasil anyaman yang kreatif di Malaysia. Sumber tumbuhan termasuk bambu, rotan, pandan dan mengkuang, menyediakan bahan mentah bagi kerja anyaman dengan teknik melilit, menganyam, menocang dan menyelit bagi menghasilkan beg, bakul, tikar, topi, tudung saji, serta sepak raga.

Beg Anyaman

Kain

Kain tradisional Malaysia, yang beraneka warna dan menawan, sangat digemari ramai. Jenis-jenis kain termasuklah batik, songket, pua kumbu dan tekat. Jenis-jenis kain ini kemudiannya dijadikan pelbagai barang perhiasan, dari pakaian tempah khas hinggalah kasut, langsir berwarna-warni dan alas tilam yang lembut.

Batik
Perkataan batik merujuk kepada teknik bagaimana kain batik dihasilkan, menggunakan lilin bagi membuat permukaan kain menjadi kalis air agar tidak menyerap warna. Warna kain batik tahan lebih lama kerana keseluruhan kain tersebut dicelup ke dalam pewarna yang menyerap ke dalam serat kain tersebut, dan bukan dicat atau dicetak.

Corak Kain Batik

Songket
Kain songket dihasilkan secara anyaman menggunakan benang emas. Pada masa dahulu, kain yang mewah dan indah ini melambangkan taraf kedudukan seseorang Melayu bangsawan.

Kain Songket

Pua Kumbu
Pua Kumbu diperbuat daripada benang-benang yang dicelup secara individu menggunakan alat penenun tradisional. Corak menarik pada kain ini diilhamkan dalam mimpi tukang tenun dan dipengaruhi kepercayaan animis yang purba. Corak-corak yang diilhamkan adalah merupakan gabungan antara yang azali dengan yang mistik. Setiap tenunan mencerminkan peribadi penenun itu sendiri.

Pua Kumbu

Tekat
Tekat adalah seni menjahit benang emas ke atas kain dasar, yang lazimnya baldu, pada asalnya digunakan bagi menghias pakaian kahwin Melayu tradisional.

Tekat

Barang Kemas & Aksesori Pakaian

Barangan aksesori buatan tangan yang halus banyak terdapat di Malaysia. Pilihlah antara barangan yang diperbuat daripada kulit, rantai manik dari Borneo, atau barang kemas emas dan perak bertatah batu permata yang sungguh menawan.

Kerongsang
Set tiga biji kancing yang digunakan bagi menyemat bahagian depan baju kebaya. Kerongsang lazimnya terdiri dari tiga bentuk kancing, iaitu satu kancing ibu, yang lebih besar dan berat, serta dua kancing anak yang lebih kecil dan ringan yang disusun di bawah kancing ibu.

Kerongsang

Cucuk Sanggul
Penyemat rambut tradisional yang digunakan untuk mengemaskan rambut wanita dan membentuk sanggul di atas kepala mereka. Penyemat ini, yang lazimnya diperbuat dari emas atau perak dalam set tiga, lima atau pun tujuh, kini dipakai ketika hari perkahwinan atau digunakan oleh para penari tradisional dengan pakaian persembahan mereka.

Cucuk Sanggul

Pending

Sejenis tali pinggang berukir yang digunakan untuk mengemaskan samping dengan pakaian baju Melayu yang merupakan pakaian tradisi bagi kaum lelaki. Pada masa dahulu, pending ini mencerminkan taraf dan kekayaan pemakainya.

Pending

Keunikan Masyarakat Setempat

Penduduk Malaysia mempunyai semangat kemasyarakatan teguh yang tercermin dalam permainan tradisional serta aktivti kemasyarakatan mereka, seperti yang boleh dilihat sebelum atau selepas perayaan menuai serta majlis perkahwinan.

Silat
Seni pertahanan diri Melayu ini juga merupakan sejenis sukan dan juga satu bentuk tarian. Silat, yang telah wujud di rantau ini sejak berkurun lamanya, memaparkan gerak badan yang lancar yang bertujuan untuk menarik perhatian dan mengelirukan lawan. Ada yang percaya bahawa mereka yang bersilat dapat meningkatkan kekuatan rohani sejajar dengan prinsip Islam yang dipraktikkan. Seni silat, yang lazimnya diiringi paluan gendang dan gong, biasanya dipersembahkan di majlis perkahwinan serta acara perayaan.

Seni Silat

Sepak Takraw
Juga dikenali sebagai sepak raga, sepak takraw adalah sebiji bola tradisional yang diperbuat dari lilitan bilah kulit buluh atau bamboo yang ditimang menggunakan sebarang anggota tubuh badan kecuali tangan dan lengan. Terdapat dua jenis sepak takraw: bulatan dan jaring. Sepak raga bulatan adalah bentuk asli permainan ini di mana pemain berdiri dalam bulatan dan berusaha selama mungkin menimang bola tanpa terjatuh ke tanah. Sepak takraw jaring adalah bentuk moden permainan ini yang mana bola tersebut ditujah melepasi jaring yang tinggi ke sebelah pihak lawan.

Sepak Takraw

Wau
Wau adalah sejenis laying-layang tradisional yang sangat popular di pantai timur Malaysia, terutamanya negeri Kelantan. Layang-layang tradisional yang kadangkala sebesar manusia ini – sepanjang kira-kira 3.5 meter dari kepala ke kaki – pada asalnya diterbangkan setelah selesai musim menuai padi. Ianya dipanggil wau kerana bentuknya seakan-akan huruf ‘wau’ Jawi. Wau yang direka dengan pelbagai rekabentuk, serta warna dan corak yang cerah, bermotifkan tumbuhan dan haiwan sememangnya indah dan menawan hati.

Wau

Gasing


Gasing berbentuk seakan-akan sebuah pinggan yang tebal, dan lazimnya seberat 5kg atau 10 paun. Permainan gasing memerlukan kekuatan, penyelarasan pergerakan, serta kepakaran. Gasing selalunya dimainkan selepas berakhirnya musim menuai. Gasing dilempar dengan menyentap seutas tali panjang yang telah dililit di kelilingnya. Ketika gasing ini masih berputar, ia dicedok dari atas tanah menggunakan sekeping kayu pipih yang berliang di tengahnya, dan dialihkan ke sebatang tiang rendah yang bertampuk besi. Jika dilempar dengan betul, gasing ini kadangkala boleh terus berputar hingga dua jam lamanya.

Wayang Kulit


Wayang kulit adalah sejenis persembahan pentas yang menggabungkan kemeriahan pertunjukan patung dengan kesederhanaan gaya pertunjukan wayang kulit. Patung wayang kulit yang leper diperbuat daripada kulit lembu atau kerbau yang diukir halus dan dicat tangan. Setiap patung mempunyai rupa dan bentuk watak manusia yang tersendiri, dan mempunyai bahagian tangan dan kaki yang bersendi. Pertunjukan wayang kulit dipersembahkan oleh seorang Tok Dalang dan lazimnya menceritakan kisah epik sejarah Hindu.

Congkak


Congkak adalah sejenis permainan berasaskan matematik yang dimainkan oleh kaum wanita zaman dahulu dengan hanya menggunakan lubang-lubang kecil yang digali di atas tanah, serta biji asam jawa. Kini congkak dimainkan menggunakan sebongkah kayu yang berlubang lima, tujuh atau sembilan berkembar, serta dua buah lubang besar di kedua hujungnya yang dipanggil ‘rumah’. Congkak dimainkan menggunakan kulit siput, guli, batu kecil atau biji asam jawa, dan memerlukan dua pemain.

Chingay


Pesta Chingay yang terkenal di Pulau Pinang, merupakan perarakan bendera raksaksa yang meraikan ketibaan musim bunga pada awal tahun. Unsur-unsur lazim dalam pesta ini adalah bendera segi tiga yang raksaksa serta tanglung kertas. Tiang bendera ini yang juga bersaiz besar, ditimang di atas dahi, dagu dan bahu individu yang membawanya. Terdapat juga penari, ahli silap mata dan pelbagai penghibur lain sewaktu pesta ini berlangsung.

Sepak Manggis


Sepak manggis adalah permainan unik yang bertempat di luar rumah untuk hiburan penduduk Bajau dan Iranum di Sabah. Pemain berdiri di dalam bulatan menghadap satu sama lain dan cuba memukul bekas bunga manggis yang digantung pada tiang setinggi 10 meter. Pemenang dihadiahkan dengan wang, barangan atau makanan yang terkandung di dalam bekas tersebut.

SENIBINA

Posted: June 8, 2010 in Uncategorized

Gabungan Senibina yang Menakjubkan
Senibina Malaysia yang mencerminkan pelbagai gaya, budaya dan agama di Asia, dan memaparkan gabungan ciri tradisi dan moden, dengan unsur gaya Hindu-India, Islam-Arab, Cina dan Eropah.

Penjajahan Portugis, Belanda dan British telah banyak mempengaruhi gaya senibina tempatan. Kini, negara berpegang kepada visi Malaysia moden yang Merdeka, sambil mengekalkan kekayaan budaya dan warisan.

Melayu
Senibina tradisional Melayu menggunakan proses senibina yang canggih dan sesuai dengan keadaan iklim tropika. Rumah dibina di atas tiang kaki bagi membolehkan angin bertiup di bawah rumah sambil menyejukkannya, serta mengelak kesan buruk akibat banjir. Bumbung yang mempunyai rabung tinggi serta tingkap yang besar bukan sahaja membolehkan angin bertiup ke dalam rumah, malahan diukir cantik bagi meningkatkan lagi keindahan binaan tersebut.

Rumah tradisi Negeri Sembilan dibina daripada kayu keras, tanpa menggunakan sebarang paku. Ianya dibina dengan beberapa tiang seri yang dicantum mengunakan baji. Contoh senibina yang indah ini boleh dilihat pada Istana Lama Sri Menanti, Negeri Sembilan yang dibina sekitar tahun 1905. Satu lagi contoh senibina Melayu yang hebat adalah Istana Kenangan di Bandar DiRaja Kuala Kangsar. Istana yang dibina pada tahun1926 ini merupakan satu-satunya istana Melayu yang dibina dengan dinding buluh.


Istana Lama Sri Menanti, Negeri Sembilan

Rumah Minangkabau

Kini, banyak bangunan di Malaysia yang menggabungkan ciri-ciri Islam seperti yang boleh dilihat pada bangunan Muzium Seni Islam Antarabangsa, dibeberapa bangunan di pusat pentadbiran baru, Putrajaya, serta kebanyakan masjid di seluruh negara.



PUTRAJAYA

Cina
Di Malaysia, senibina Cina terbahagi kepada dua jenis iaitu senibina tradisional dan senibina Baba-Nyonya. Contoh senibina tradisional adalah tokong-tokong Cina yang terdapat di seluruh negara, seperti tokong Chen Hoon Teng, yang dibina pada tahun1646.

Tokong Chen Hoon Teng

Banyak rumah lama, terutama sekali di Melaka dan Pulau Pinang, mempunyai warisan Baba-Nyonya dan dibina dengan halaman terbuka di bahagian dalam rumah serta jubin yang cantik dan bewarna-warni.

Satu lagi bentuk senibina yang menggabungkan unsur Cina dan Barat dan jarang ditemui di tempat lain, boleh dilihat pada Masjid Tengkera Melaka. Senibina yang menyerupai menara pagoda ini memaparkan bumbung yang berpengaruh senibina Cina yang digabungkan dengan tirai dan kisi-kisi berunsur kebaratan.

Masjid Tengkera Melaka

India
Disebabkan kebanyakan kaum Hindu Malaysia pada dahulunya berasal dari India selatan, kuil-kuil Hindu di Malaysia lazimnya merupakan senibina yang penuh bewarna-warni, sama seperti senibina kuil di kawasan India selatan.

Kuil Sri Mahamariaman yang dibina pada penghujung abad ke-19 di Kuala Lumpur, merupakan salah sebuah kuil Hindu yang paling cantik terhias di negara ini. Corak hiasan kuil ini yang terperinci menggabungkan ukiran halus, hiasan emas, motif lukisan tangan, serta jubin indah dari Itali dan Sepanyol.

Penduduk Sikh, walaupun merupakan kaum minoriti yang kecil, juga mempunyai kuil mereka sendiri di beberapa tempat di seluruh negara.

Batu Caves, Selangor

Kaum Pribumi Sabah dan Sarawak
Dua senibina yang unik bagi kaum pribumi di sini adalah rumah panjang dan rumah air.

Rumah panjang merupakan tempat kediaman bagi penduduk yang tinggal di bahagian pedalaman sungai Sarawak. Bangunan yang panjang dan bertiang kaki ini lazimnya dibina daripada kayu balak yang dibentuk dengan kapak, diikat dengan gentian pokok menjalar dan berbumbungkan atap yang dianyam, boleh menempatkan antara 20 hingga 100 buah keluarga.

Kampung air yang bertiang kaki juga banyak terdapat di sepanjang tebing sungai dan laut. Rumah-rumah di sini dihubungkan antara satu sama lain oleh laluan jalan kaki yang diperbuat daripada kayu, manakala bot di tambat di bahagian tepinya. Kenderaan pengangkutan yang biasa digunakan di sini adalah sampan atau kanu.

Rumah Panjang

SENIBINA ZAMAN PENJAJAHAN

Gaya senibina zaman penjajah terserlah pada bangunan yang dibina antara tahun 1511 dan 1957.

Portugis
Contoh terbaik senibina Portugis di Malaysia adalah kubu A’Famosa di Melaka, yang dibina oleh Alfonso d’Albuquerque pada tahun 1511. Hampir keseluruhan kubu ini telah dimusnahkan pihak Belanda. Kini yang tinggal hanyalah sebahagian kecil kubu tersebut di atas bukit yang menghadap bandar Melaka, pelabuhan lama serta Selat Melaka.

A’ Famosa

Belanda
Bangunan Stadthuys yang terletak di bandar Melaka, dengan pintu kayu yang keras, dinding merah yang tebal, serta engsel besi wajanya, adalah peninggalan zaman penjajahan Belanda yang paling ketara di Melaka. Bangunan ini merupakan contoh baik kepakaran senibina dan pertukangan kayu Belanda ketika itu. Bangunan ini, yang dibina di antara tahun 1641 hingga 1660 merupakan bangunan Belanda yang tertua di Timur.

Bangunan Stadthuys

Inggeris
Antara bangunan mercu tanda terpenting yang dibina oleh pihak Inggeris adalah Bangunan Sultan Abdul Samad yang tersergam indah berhampiran Dataran Merdeka. Bangunan berunsur senibina Islam ini, yang siap dibina pada tahun 1897, digunakan sebagai pejabat Setiausaha Koloni sewaktu zaman penjajahan Inggeris.

Bangunan Sultan Abdul Samad

Bangunan-bangunan kedai pra-Merdeka masih lagi kelihatan menarik, dengan ciri-ciri bangunan zaman dahulu. Laluan kaki lima di hadapan bangunan kedai yang melindungi pejalan kaki dari hujan serta terik matahari, adalah salah satu contoh kepakaran senibina pereka cipta Inggeris.

Terokailah Bumi Pelbagai Budaya
Penduduk Melayu, Cina dan pelbagai kaum etnik yang lain telah hidup bersama sejak beberapa generasi yang lalu. Pelbagai budaya yang berbeza ini telah saling mempengaruhi antara satu sama lain, menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang unik.

Jumlah kaum terbesar di Malaysia adalah kaum Melayu, Cina dan India. Negeri Sabah dan Sarawak juga mempunyai pelbagai kumpulan etnik peribumi, masing-masing dengan budaya serta warisan yang unik dan tersendiri.

Melayu
Hari ini, kaum Melayu, kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu merangkumi lebih 50 peratus penduduk negara ini. Di Malaysia, jika merujuk kepada orang Melayu menunjukkan orang itu beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu, berbahasa Melayu dan mempunyai keturunan Melayu.

Pada asalnya mereka penganut Theravada Buddha dan Hindu pada kurun ke 1400-an, dan dengan pengaruh Istana Melaka ketika itu mereka menganut Islam. Orang Melayu terkenal kerana peramah dan budaya seni mereka yang sangat kaya.

Cina
Ini adalah kumpulan etnik kedua terbesar, yang mana kaum Cina merangkumi 25 peratus populasi. Kebanyakan keturunan kaum Cina hari ini berasal daripada pendatang ke negara ini pada kurun ke-19. Mereka terkenal kerana kuat bekerja dan pandai berniaga.

Tiga kumpulan kecil kaum ini yang berbicara dialek Cina berbeza adalah Hokkien yang tinggal di utara Pulau Pinang, Kantonis yang tinggal di Kuala Lumpur dan juga kumpulan bertutur bahasa Mandarin yang tinggal di kawasan selatan tanahair di Johor.

India
Kumpulan etnik terkecil antara tiga kumpulan etnik utama di negara ini, kaum India merangkumi 10 peratus populasi. Kebanyakan berasal daripada pendatang dari Selatan India yang berbahasa Tamil, yang datang ke Malaysia sewaktu zaman penjajahan British dahulu.
Mereka datang ke sini untuk mencari kehidupan yang lebih baik, luar daripada sistem kasta yang diamalkan di India. Kebanyakan beragama Hindu, mereka turut membawa budaya mereka yang unik serta pembinaan kuil, makanan pedas dan pakaian sari yang mewah.

MALAYSIA

Posted: June 7, 2010 in Uncategorized

Sejarah silam Malaysia yang menarik, sebagai tempat persinggahan dalam laluan perdagangan rempah ratusan tahun dahulu, telah menjadikannya sebuah pusat gabungan pelbagai budaya.

Segala aspek negara, dari latarbelakang penduduknya, hinggalah kekayaan senibinanya, mencerminkan penggabungan warisan dan budaya yang pelbagai.

Kinilah masanya, Malaysia adalah destinasinya