SENIBINA

Posted: June 8, 2010 in Uncategorized

Gabungan Senibina yang Menakjubkan
Senibina Malaysia yang mencerminkan pelbagai gaya, budaya dan agama di Asia, dan memaparkan gabungan ciri tradisi dan moden, dengan unsur gaya Hindu-India, Islam-Arab, Cina dan Eropah.

Penjajahan Portugis, Belanda dan British telah banyak mempengaruhi gaya senibina tempatan. Kini, negara berpegang kepada visi Malaysia moden yang Merdeka, sambil mengekalkan kekayaan budaya dan warisan.

Melayu
Senibina tradisional Melayu menggunakan proses senibina yang canggih dan sesuai dengan keadaan iklim tropika. Rumah dibina di atas tiang kaki bagi membolehkan angin bertiup di bawah rumah sambil menyejukkannya, serta mengelak kesan buruk akibat banjir. Bumbung yang mempunyai rabung tinggi serta tingkap yang besar bukan sahaja membolehkan angin bertiup ke dalam rumah, malahan diukir cantik bagi meningkatkan lagi keindahan binaan tersebut.

Rumah tradisi Negeri Sembilan dibina daripada kayu keras, tanpa menggunakan sebarang paku. Ianya dibina dengan beberapa tiang seri yang dicantum mengunakan baji. Contoh senibina yang indah ini boleh dilihat pada Istana Lama Sri Menanti, Negeri Sembilan yang dibina sekitar tahun 1905. Satu lagi contoh senibina Melayu yang hebat adalah Istana Kenangan di Bandar DiRaja Kuala Kangsar. Istana yang dibina pada tahun1926 ini merupakan satu-satunya istana Melayu yang dibina dengan dinding buluh.


Istana Lama Sri Menanti, Negeri Sembilan

Rumah Minangkabau

Kini, banyak bangunan di Malaysia yang menggabungkan ciri-ciri Islam seperti yang boleh dilihat pada bangunan Muzium Seni Islam Antarabangsa, dibeberapa bangunan di pusat pentadbiran baru, Putrajaya, serta kebanyakan masjid di seluruh negara.



PUTRAJAYA

Cina
Di Malaysia, senibina Cina terbahagi kepada dua jenis iaitu senibina tradisional dan senibina Baba-Nyonya. Contoh senibina tradisional adalah tokong-tokong Cina yang terdapat di seluruh negara, seperti tokong Chen Hoon Teng, yang dibina pada tahun1646.

Tokong Chen Hoon Teng

Banyak rumah lama, terutama sekali di Melaka dan Pulau Pinang, mempunyai warisan Baba-Nyonya dan dibina dengan halaman terbuka di bahagian dalam rumah serta jubin yang cantik dan bewarna-warni.

Satu lagi bentuk senibina yang menggabungkan unsur Cina dan Barat dan jarang ditemui di tempat lain, boleh dilihat pada Masjid Tengkera Melaka. Senibina yang menyerupai menara pagoda ini memaparkan bumbung yang berpengaruh senibina Cina yang digabungkan dengan tirai dan kisi-kisi berunsur kebaratan.

Masjid Tengkera Melaka

India
Disebabkan kebanyakan kaum Hindu Malaysia pada dahulunya berasal dari India selatan, kuil-kuil Hindu di Malaysia lazimnya merupakan senibina yang penuh bewarna-warni, sama seperti senibina kuil di kawasan India selatan.

Kuil Sri Mahamariaman yang dibina pada penghujung abad ke-19 di Kuala Lumpur, merupakan salah sebuah kuil Hindu yang paling cantik terhias di negara ini. Corak hiasan kuil ini yang terperinci menggabungkan ukiran halus, hiasan emas, motif lukisan tangan, serta jubin indah dari Itali dan Sepanyol.

Penduduk Sikh, walaupun merupakan kaum minoriti yang kecil, juga mempunyai kuil mereka sendiri di beberapa tempat di seluruh negara.

Batu Caves, Selangor

Kaum Pribumi Sabah dan Sarawak
Dua senibina yang unik bagi kaum pribumi di sini adalah rumah panjang dan rumah air.

Rumah panjang merupakan tempat kediaman bagi penduduk yang tinggal di bahagian pedalaman sungai Sarawak. Bangunan yang panjang dan bertiang kaki ini lazimnya dibina daripada kayu balak yang dibentuk dengan kapak, diikat dengan gentian pokok menjalar dan berbumbungkan atap yang dianyam, boleh menempatkan antara 20 hingga 100 buah keluarga.

Kampung air yang bertiang kaki juga banyak terdapat di sepanjang tebing sungai dan laut. Rumah-rumah di sini dihubungkan antara satu sama lain oleh laluan jalan kaki yang diperbuat daripada kayu, manakala bot di tambat di bahagian tepinya. Kenderaan pengangkutan yang biasa digunakan di sini adalah sampan atau kanu.

Rumah Panjang

SENIBINA ZAMAN PENJAJAHAN

Gaya senibina zaman penjajah terserlah pada bangunan yang dibina antara tahun 1511 dan 1957.

Portugis
Contoh terbaik senibina Portugis di Malaysia adalah kubu A’Famosa di Melaka, yang dibina oleh Alfonso d’Albuquerque pada tahun 1511. Hampir keseluruhan kubu ini telah dimusnahkan pihak Belanda. Kini yang tinggal hanyalah sebahagian kecil kubu tersebut di atas bukit yang menghadap bandar Melaka, pelabuhan lama serta Selat Melaka.

A’ Famosa

Belanda
Bangunan Stadthuys yang terletak di bandar Melaka, dengan pintu kayu yang keras, dinding merah yang tebal, serta engsel besi wajanya, adalah peninggalan zaman penjajahan Belanda yang paling ketara di Melaka. Bangunan ini merupakan contoh baik kepakaran senibina dan pertukangan kayu Belanda ketika itu. Bangunan ini, yang dibina di antara tahun 1641 hingga 1660 merupakan bangunan Belanda yang tertua di Timur.

Bangunan Stadthuys

Inggeris
Antara bangunan mercu tanda terpenting yang dibina oleh pihak Inggeris adalah Bangunan Sultan Abdul Samad yang tersergam indah berhampiran Dataran Merdeka. Bangunan berunsur senibina Islam ini, yang siap dibina pada tahun 1897, digunakan sebagai pejabat Setiausaha Koloni sewaktu zaman penjajahan Inggeris.

Bangunan Sultan Abdul Samad

Bangunan-bangunan kedai pra-Merdeka masih lagi kelihatan menarik, dengan ciri-ciri bangunan zaman dahulu. Laluan kaki lima di hadapan bangunan kedai yang melindungi pejalan kaki dari hujan serta terik matahari, adalah salah satu contoh kepakaran senibina pereka cipta Inggeris.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s